Monday, July 6, 2009

Perlunya Tarbiyah Islamiah Dalam Institusi Keluarga


Assalamualaikum…


Faktor genetik cukup mengesankan dalam menghadirkan seorang pejuang yang menoreh sejarah, malah disekalikan dengan faktor lingkungan persekitaran seseorang itu membesar. Ini merujuk kepada bagaimana Hassan Al Banna sendiri yang membesar dengan didikan agama dan kemuliaan ajaran sejak dari kecil lagi.

Tarbiah di dalam sesebuah keluarga itu amat penting kerana ia akan mencorakkan peribadi seseorang anak itu. Coretan sejarah silam juga menunjukkan bahawa betapa pentingnya tarbiah seharian dalam mencorak peribadi seseorang muslim. Contoh terbesar ialah Saidina Ali KWJ yang ditarbiah secara langsung oleh baginda Nabi SAW semenjak umur yang masih kecil. Saidina Ali merupakan sepupu dan anak angkat Nabi SAW yang mana Baginda Nabi mengacuankan peribadi Saidina Ali dengan hebat.

didiklah ahli keluargamu mengenal Allah

Begitu juga Usamah bin Zaid yang menjadi panglima perang pada zaman Khalifah Abu Bakar. Usamah merupakan anak kepada tokoh Islam iaitu Zaid bin Harithah(anak angkat Rasulullah SAW). Usamah dibesarkan dalam perhatian dan kasih sayang baginda Nabi SAW terutama selepas syahidnya ayah Usamah dalam perang Muktah. Rasulullah SAW sendiri yang mengasah potensi dan bakat yang ada pada Usamah bin Zaid. Buktin kehebatan Usamah dapat dilihat apabila beliau telah dilantik sebagai panglima perang dalam umur belasan tahun.

Selain itu, ada satu kisah yang berlaku pada zaman Saidina Umar menjadi khalifah yang menunjukkan kepada kita bahawa bagaimana peribadi seorang anak adalah cermin kepada peribadi ibu dan bapanya. Pada suatu hari, Saidina Umar telah meronda Madinah untuk melihat kehidupan rakyatnya. Ketika melalui sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di jalanan, semua kanak-kanak bertempiaran melarikan diri kerana aura tegas pada Amirul Mukminin melainkan seorang budak kecil.

Saidina Umar bertanya dalam keadaan berseloroh, ”Hai budak, mengapa kamu tidak lari sebagaimana kawan-kawan kamu yang lain?”. Maka budak itu menjawab, ”Mengapa aku nak lari, aku tidak berbuat apa-apa kesalahan.”. Tertarik dengan keberanian dan ketangkasan budak kecil itu, maka bertanya Saidina Umar dengan penuh teruja, ”Siapakah ibu dan bapa kamu?”. ”Ibuku Asma’ binti Abu Bakar dan bapaku Zuber Al Awwam” tukas budak kecil itu. “Patutlah kamu seorang yang hebat kerana kamu mempunyai ayah dan ibu yang hebat” ujar Saidina Umar. Anak kecil itu ialah Abdullah bin Zuber yang akhirnya membina nama besar dalam sejarah Islam.

Seorang ibu adalah Madrasah


Sedar atau pun tidak, hakikatnya seorang ibu adalah madrasah. Berjayanya ibu-ibu di Palestin melahirkan anak-anak yang memerangi senjata Israel dengan hanya seketul batu dan melahirkan anak-anak yang penuh dengan jiwa jihad.

Sebuah kisah di negeri berdarah, ungkapan kata seorang anak kepada ibunya:

"Wahai ibu, jangan dinantikan kepulanganku, kerana pergiku dengan satu matlamat ...supaya aku mati syahid..."

Sungguh gah hati seorang ibu, kerana melahirkan anak yang berjiwa pejuang. Ibu adalah madrasah para syuhada'.

Berkata seorang penyair:

" Seorang ibu adalah madrasah. Apabila engkau mendidiknya, bererti engkau sedang menyediakan satu generasi yang unggul.”

Satu generasi yang bakal dilahirkan oleh muslimah-muslimah yang sedang mentarbiyyah dan ditarbiyyah...iaitu satu generasi Rabbani. Tangan yang menghayun buaian, dapat menggegarkan dunia....

Allah berfirman:

"Wahai org-org yg beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yg bahan bakarnya adalah manusia dan batu;penjaganya malaikat-malaikat yg kasar, dan keras, yg tidak durhaka kpd Allah terhadap apa yg Dia perintahkn kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yg diperintahkan" (At-Tahrin:6)

www.iLuvislam.com
oleh: nur_ilahi87

Wallahu’alam

0 comments:

 

Hj Ismail family Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template