Thursday, August 27, 2009

Ramadhan bulan istimewa

Assalamualaikum wbt.

Kini Ramadhan menjelma lagi. Seluruh umat Islam dengan keazaman dan semangat yang baru terus berlumba-lumba dalam mengerjakan amal ibadah yang sememangnya dijanjikan pahala yang berlipat ganda. Apabila memasuki sahaja bulan yang mulia ini, sebagaimana kata Zakir, kita seolah-olah berada di dalam sebuah gedung membeli-belah yang menjanjikan pelbagai jualan murah dan potongan harga yang pasti memikat hati sesiapa sahaja. Begitulah madrasah Ramadhan, kita semestinya akan terpikat dengan pelbagai macam agenda dan anugerah yang telah dijanjikan Allah berlipat ganda nilaiannya kepada kita yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain.

Contoh yang paling jelas adalah hanya pada bulan inilah adanya malam Lailatulqadar.Lailatulqadar adalah satu malam yang luar biasa. Allah berfirman yang bermaksud:

" Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang kebesaran malam lailatulqadar itu? Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turunlah malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlaku). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar."(al-Qadar ayat 1-5)

Allah telah menurunkan al-Quran sepenuhnya dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia pada malam Lailatulqadar sebelum diturunkan kepada Nabi secara berperingkat-peringkat. Malam al-Qadar adalah malam yang sangat istimewa yang tidak ada pada bulan-bulan lain. Kelebihannya adalah beribadah pada malam ini adalah lebih baik daripada beribadah selama seribu bulan. Firman Allah yang bermaksud: "Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan"(Surah al-Qadar, ayt 3).

Imam At-Tabari dalam Tafsir at-Tabari berkata, "Pendapat yang paling tepat ialah pendapat yang mengatakan ‘lebih baik dari seribu bulan' bermaksud ‘beramal pada malam al-Qadar sama pahalanya dengan beramal dalam seribu bulan yang tiada dalamnya malam al-Qadar (iaitu beramal dalam bulan-bulan selain Ramadan)'."

Justeru, sewajarnyalah kita sebagai umat Islam mengejar anugerah yang bernilai ini yang datang daripada Tuhan Pencipta kita. Sesungguhnya inilah anugerah yang sangat istimewa daripada Tuhan kepada hamba-hambanya. Cuba bayangkan, siapakah yang sanggup memberi bonus 83 tahun kepada pekerjanya yang bekerja hanya pada satu malam? Sudah tentu tiada. Namun Allah sanggup memberi pahala 1000 bulan kepada mereka yang beramal pada satu malam iaitu malam al-Qadar. 1000 bulan menyamai 83 tahun. Anugerah Allah ialah ganjaran pahala dan kemuncaknya syurga atau jannah dan ia merupakan anugerah yang kekal abadi.

Dalam sebuah hadis qudsi Allah berfirman yang bermaksud: "Aku (Allah) telah sediakan bagi hamba-Ku yang salih (nikmat) yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengari oleh telinga dan tidak pernah dirasai oleh hati manusia." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam melakukan amal ibadah pula, kita perlulah melaksanakannya dengan betul dan hati yang ikhlas secara bersungguh-sungguh. Janganlah disebabkan terlalu bersemangat untuk beramal ibadah maka, kita sangat mudah untuk menerima segala hadis-hadis palsu tentang fadhilat bulan Ramadhan yang tersebar luas dalam masyarakat kita. Belajarlah untuk meneliti dan mengkaji sesuatu sebelum menerimanya untuk diamalkan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah di samping melakukan kebaikan baginya ganjaran dari sisi Tuhannya, tidak ada ketakutan ke atasnya dan dia tidak akan berdukacita." (Surah Baqarah ayat 112)

Berhubung dengan ayat ini, Imam Ibn Kathir berkata dalam Tafsirul Quranil Azim, "(Ayat ini) menjelaskan, Allah hanya menerima amal yang mempunyai dua kriteria, pertamanya ikhlas dan keduanya muhsin. Muhsin bermaksud melakukan sesuatu sesuai dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah. Jika sesuatu amal dilakukan dengan tulus ikhlas tetapi caranya tidak mengikut (syariat), ia tidak diterima (oleh Allah)."

Begitulah Ramadhan yang penuh dengan rahmat dan keistimewaan yang tersendiri selain daripada berpuasa pada siang harinya. Sesungguhnya matlamat puasa itu sendiri adalah untuk membina takwa. Untuk tujuan itu puasa perlu dilakukan dengan cara serta adab yang betul. Apabila kesemua ini dilakukan dengan sempurna, seseorang bukan sahaja akan memperoleh takwa, malah lebih dari itu dia juga akan memperoleh segala kebaikan yang lain.

Mudah-mudahan kita semua akan mengejar pahala yang melimpah ruah di bulan yang mulia ini. Selamat berpuasa buat seluruh muslimin dan muslimat terutamanya warga Haji Ismail family sekalian. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini akan berjaya menyuntik semangat yang tinggi dalam diri kita untuk memperbanyakkan amal ibadat dan kebajikan dan semoga ianya berkekalan hingga ke akhir hayat kita. InsyaAllah.

Sumber: Artikel Dr Danial Zainal Abidin

0 comments:

 

Hj Ismail family Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template